Skip to main content

PEMINTAL MIMPI: Bahagian 16

 

Tubuh tidak bermaya Hatadi diletakkan di atas meja. 

“Apa sudah kamu lakukan ini, Seroja,” tanya Malik. Dia benar-benar terkejut melihat Hatadi yang tidak sedarkan diri.

“Dia ini seorang yang degil. Aku cuba berunding secara berhemah. Tetapi ini jalan yang terbaik.”

Malik melihat dahi Hatadi yang penuhi luka-luka kecik, dia bertanya kepada Seroja,“Adakah dia dalam keadaan baik?”

“NALURI. Imbas keadaan pemuda ini,” arah Seroja.

Satu spera logam muncul. Pacaran cahaya biru mengimbas tubuh Hatadi yang berbaring di atas meja.

Hologram anatomi tubuh manusia dipancarkan. Satu bintik merah berkelip-kelip pada kepala hologram. 

“Semua organ dalaman dalam keadaan baik. Cuma kecedaraan kecil di kepala,” NALURI menyampaikan status keadaan Hatadi.

Seorang pegawai perubatan datang dengan sebuah peti kecemasan. Gel berwarna hijau disapu pada luka dan pembalut dilekatkan pada dahi Hatadi yang tercedera akibat tersungkur tadi.

Ѿ

Tidak beberapa lama kemudian, Hatadi tersedar. Sebaik sahaja matanya terbuka dia meronta-ronta untuk menyelamatkan diri. 

“Sudahku katakan tadi. Dia ini memang degil,” rungut Seroja.

“Tidak baik berbicara begitu di hadapan tetamu kita ini,” nasihat Hatadi.

“Lepaskan aku. Lepaskan aku. Kenapa aku diikat,” rontaan Hatadi semakin kuat.

“Jika Tuan Hatadi berjanji untuk tidak melarikan diri lagi. Aku akan tanggalkan ikatan ini,” kata Malik

Dia mengangguk setuju. Tetapi itu hanya dibibirnya, dia merancang untuk cuba melarikan diri sekali lagi.

“Dr Denai mengirim salam,” kata Malik sambil menanggalkan ikatan.

Sebaik sahaja mendengar nama Dr Denai, Hatadi mematikan niatnya untuk melarikan diri sementara.

“Dr Denai kenalan kalian?”

Seroja menyahut, “Ya. Guru kepada suamiku ini, Hatadi.”

“Terlebih dahulu, aku memohon maaf kerana terpaksa membawa kamu ke sini dengan cara ini. Tetapi keadaan terlalu mendesak.”

Manuskrip daripada bahan bukti kes pemintal mimpi diletakkan hadapan Hatadi. 

“Kami memerlukan bantuan kamu untuk menafsirkan bahan bukti ini,” ujar Malik.

Melihat manuskrip lama itu, sifat ingin tahunya mengatasi ketakutannya.

“Catatan Pemintal Mimpi,” ayat pertama terkeluar daripada bibir Hatadi sebaik sahaja melihat tulisan pada ayat pertama muka hadapan.

Catatan Pemintal Mimpi itu terdiri daripada himpunan beberapa jenis dokumen. Dia memisahkan manuskrip itu kepada beberapa bahagian.

“Ini surat-menyurat. Ini pula manual penggunaan dan terakhir adalah skematik jentera.”

 “Tapi kaitan manuskrip-manuskrip ini dengan kes kamu ini?” tanya Hatadi ingin tahu lebih lanjut.

“Mari ikut aku.”

Malik membawa Hatadi ke bilik bahan bukti. Dia menunjukan sebuah mesin yang dikunci rapi. Ia sebuah mesin pemintal yang dirampas daripada rumah nenek kebayan. 

“Seorang anak lelaki telah kehilangan memori kerana mesin pemintal ini.”

“Jadi?” 

“Dia masih tidak sedarkan diri walaupun telah pisahkan daripada mesin ini, dia masih tidak sedarkan diri. Mungkin kau dapat membantu untuk menyedarkan anak itu dengan segera kerana bacaan otaknya semakin lemah hari demi hari.”

Pantas Hatadi mengimbas catatan pemintal mimpi. Satu perenggan menarik perhatian Hatadi.

Usai aku memintal mimpi buruk baginda raja, keronsang kecil seperti seekor labah-labah aku tanggalkan di bawah leher raja dan aku beredar daripada kamarnya. Sedikit darah baginda yang mulia terbit dari kulitnya lalu aku hilang dengan sekeping kain kuning. Kain yang berbekas darah raja itu aku bakar dengan pelita sehingga hitam warna, debu bentuknya.

“Bawa aku bertemu dengan budak itu,” pinta Hatadi.

Ѿ

Mereka bertiga ke hospital dengan sebuah kenderaan seperti pod kereta. Pod tanpa pemandu. Mata Hatadi memerhatikan pemandangan di sebalik cermin tingkap. 

Seroja bertanya, “Apa yang berlegar di fikiranmu, Hatadi?”

“Duniamu jauh berbeza denganku.Tetapi aku berasa sungguh dekat dengan dunia ini. Kamu berbahasa Melayu seperti aku. Tetapi kalian lebih ke hadapan dalam kemajuan teknologi,” kata Hatadi

“Mungkin kita mempunyai aturan sejarah berbeza. Mungkin,” ujar Seroja. Padanya itu jawapan yang paling logik yang dapat dia fikirkan.

“Mungkin. Tetapi titik sejarah yang mana sehingga dunia kita sungguh berbeza,” tanya Hatadi. 

“Tuhan lebih mengetahui,” Seroja tiada jawapan kepada persoalan itu. 

Sebuah hologram muncul di udara. Perkataan “Selamat Datang ke Negara Sunda” terpampang besar. Peta Negara Sunda menyusul kemudian. 

“Negaramu dari peta ini, sama seperti negara ku. Cuma jauh lebih luas. Jika di dunia asalku ini keluasannya mencangkupi tujuh buah negara. Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Sebahagian Thailand dan Kemboja,” kata Hatadi yang masih kagum dengan Negara Sunda.

“Negara siam tidak menjajah kawasan utara kalian,” Hatadi cuba mengali lagi.

Malik dan Seroja tersenyum.Hatadi sedikit malu dengan perangainya. Seperti anak kecil yang ingin tahu semua benda.

“Maafkan aku jika terlalu banyak soalan.”

“Tidak mengapa, Hatadi. Jarang orang bertanya tentaang sejarah seperti kamu. Patutlah Dr Denai menyarankan namau untuk membantu kami. Walaupun sudah pakar sejarah, sifat dahaga untuk ilmu kamu sungguh mengagumkan kami. Jika bab sejarah, aku serahkan kepada suamiku. Dia anak murid kesayangan Dr Denai,” serah Seroja. Dia sempat ketawa kecil.

Malik menjeling Seroja kerana usikan “Murid kesayangan” itu.

Malik menjawab, “Menurut sejarah mereka ada cuba menyerang tetapi raja-raja negeri Melayu bersatu menentang.  Kedah, Perak dan Selangor. Mereka terpaksa berundur dan kejadian itu, negeri-negeri melayu tidak lagi menghantar bunga emas sebagai tanda putus hubungan.”

Bertambah kagum Hatadi. Kerana di dunianya. Kerajaan negeri melayu berpecah dan berkomplot dengan Siam.

“Inggeris?”

“Kenapa dengan Inggeris? “

“Tiada cubaan menjajah?”

“Tiada setahu aku. Mereka hanya ke Tanah Melayu hanya untuk tujuan berdagang.”

Hatadi langsung menyambung, “Adakah...”

Belum sempat hatadi meneruskan soalannya. 

Seroja mencelah, “Lebih baik aku tunjukkan . Dia memberi Hatadi sebuah kapsul kecil.

“Pasang di telinga kamu.”

Hatadi menuruti Seroja. Kapsul itu dipasang pada cuping telinganya.

“Dan....?”

“Sentuh kapsul itu.”

Satu cahaya muncul daripada kapsul itu lalu meliputi mata Hatadi.

Hatadi dibawa ke satu ruang maya. Seluruh ruang itu hitam pekat. 

Malik muncul dalam ruang itu.

“Nampak di pergelangan kamu. Ada sebuah gelang bukan?”

“Ya,” angguk Hatadi.

“Pusing ke atas jika kamu mahu putarkan masa ke hadapan dan ke kiri jika mahu ke masa belakang.” 

Malik menunjukan contoh. 

“Bawakan kami ke pelabuhan Merbok, Kedah Tua,” Malik memberi arahan suara.

Masa silam dibina semula sebaik sahaja Malik melaraskan gelang hijau itu. Ruang hitam itu menjadi sebuah pelabuhan yang sibuk. Hatadi melihat kapal-kapal besar keluar masuk daripada pelabuhan itu. Dia teruja.

“Boleh, Hatadi?”

“Baik?”

“Perang ligor. Bawakan aku ke perang itu.” arah Hatadi.

Ruang maya hitam itu menjadi hitam dalam beberapa saat sebelum realiti maya sewaktu Perang Ligor terbentuk.

Beberapa orang di sebelah Hatadi melepaskan tembakan arah musuh. Reality maya itu sungguh hampir kepada nyata seningga dapat menipu deria Hatadi.


Dia terduduk sambil menutup telinganya. Malik yang menyertai ruang maya itu ketawa kecil.

“Semua ini hanya maya, Hatadi. Jangan takut, ia tidak dapat mengapa-apakan kamu.” Dia berdiri hadapan sekumpulan gajah yang sedang merempuh pintu gerbang kota.

“Jangan Malik,” teriak Hatadi.

“Kumpulan gajah-gajah itu berlari dan menembusi tubuh Malik.

Perbuatan Malik benar-benar meyakinkannya itu adalah realiti maya.

“Kalau ini Perang Ligor. Kenapa tentera Siam sendiri yang menyerang Perak. Bukankah mereka telah menghantar orang Melayu Kedah?” soal Hatadi.

Dalam peperangan itu, jelas kelihatan angkatan perbezaan antara tentera Siam dan Perak melalui kelengkapan perang mereka.

“Kerajaan Kedah tidak mahu bersubahat dengan Siam. Dan kerajaan Kedah telah bergabung dengan Perak untuk mengusir Siam daripada tanah mereka,” jelas Malik

Hatadi menyentuh kapsul pada telingannya. Mereka keluar daripada realiti maya. 

“Mungkin ini sebabnya Negara Sunda luas begini. Mereka bersatu menentang Siam,” Hatadi berteori.

Hatadi meneliti kapsul realiti maya itu. Ada sebuah logo muka seekor harimau pada kapsul itu.

“Adakah teknologi teknologi maya ini hasil negaramu?” tanya Hatadi lagi.

“Banyakkan teknologi ini adalah teknologi anak watan. Kamu lihat logo ini? Ini empayar teknologi milik keluarga Seroja,” jelas Malik.

Hatadi memandang Seroja kagum.

Dering telefon berbunyi. Seroja melihat mesej yang baru diterimanya. 

“Nanti kita berhenti di lobi Armada Waja, ya abang.”

“Kenapa ya?”

Ѿ

Comments

Popular posts from this blog

Foto-foto terakhir - Majlis Cukur Jambul

Sudah terlalu lama, gambar-gambar ini terperap dalam hd aku. Terimalah gambar-gambar dari majlis cukur jambul anak saudara Fawaz. From Majlis Cukur Jambul From Majlis Cukur Jambul From Majlis Cukur Jambul From Majlis Cukur Jambul Kenapa tajuk blog ini foto-foto terakhir? Ini gambar terakhir yang diambil olehku sebelum kamera aku dicuri. Sedih-sedih.

Herbalis: Misi Purnama Biru Sudah Terbit

Baru sebentar tadi aku pergi ke gudang PTS untuk mengambil 10 naskah yang beri secara percuma oleh PTS kepada penulisnya. Alhamdullilah, akhirnya terbit juga novel ini. From HERBALIS From HERBALIS From HERBALIS

Teori Efek Rama-rama (Butterfly Effect Theory)

Menurut teori ini, sesuatu perubahan kecil pada satu pembolehubah boleh memyebabkan perubahan yang ketara pada sesuatu sistem yang kompleks. Teori ini mengatakan pergerakkan kepak rama-rama mampu mengubah atmosfera bumi sehinggakan ia mampu mengubah pergerakan atau kewujudan putting beliung di satu kawasan. Perubahan kecil pada kehidupan akan membawa kesan yang besar pada masa depan, itu yang aku faham jika teori ini dikaitkan dengan kehidupan manusia yang merupakan salah satu sistem yang kompleks di dalam dunia. Tiada siapa mampu untuk meramal dengan tepat pergerakan atau perilaku manusia satu detik ke hadapan. Anda yakin dengan teori ini? Mari kita lihat pada kehidupan kita pada hari ini. Kronologi Senario Terburuk Ekstrem (Kes Curi Selipar) Encik A telah mencuri sepasang sepasang kasut selepas selesai solat Jumaat Pemilik kasut menunggu sehingga semua jemaah pulang dengan harapan dia menjumpai kasutnya semula. Tetapi setelah lama menanti, dia tidak jua menjumpai kasutnya. Pemilik ka