Tidak lama kemudian, Seroja muncul dengan sebotol cuka dan beberapa biji limau purut. Malik memandang wajah Seroja. Masih berbaki air mata pada kelopak matanya.
Riak muka nenek kebayan itu berubah ketakutan. Namun dia masih mengunci mulutnya daripada memberikan maklumat yang diperlukan.
Malik menghiris limau itu lalu mencampurkannya bersama cuka di dalam sebuah mangkuk. Dia mencelup jari telunjuknya ke dalam bekas itu. Setitik air cuka dan limau bergantungan pada jarinya. Dia mengerakkan jarinya dan cecair itu jatuh ke belakng tapak tangan nenek kebayan yang digari itu.
Gelembung kecil timbul sebaik sahaja cecair itu meresap masuk ke dalam kulit wanita tua itu.
“Argh....” jeritan nenek kembayan meledak. Riuh di luar balai hilang buat seketika.
“Sakit? Cepat cakap!”
Malik mencelup lagi jarinya ke dalam bekas cuka dan limau itu.
“Sudah. Sudah. Aku mendapat mesin ini daripada pasar gelap g....”
Sebutir peluru menusuk bahunya. Darah terpercikan membasahi muka Malik.
“Tunduk!” arah Malik.
Seroja meniarap menyelamatkan diri. Malik bersandar rapat pada dinding bilik soal siasat.
Tangan nenek kebayan itu mengeras dan berubah warna kelabu. Dalam beberapa saat, seluruh tubuh wanita tua mengeras menjadi batu. Sebutir peluru lagi dilepaskan. Tepat pada tubuh batu wanita itu lalu dia berkecai menjadi serpihan.
Malik mencari arah tembakan itu. Sebuah tingkap kecil yang hanya sebesar sejengkal menjadi bukaan penembak hendap.
Dia mencapai pistolnya dan berlari keluar balai. Dia memerhatikan kawasan luar balai, menelah trejektori tembakan itu. Dia memandang ke arah sebuah bangunan setinggi sepuluh tingkat berhampiran dengan Balai Temenggung.
Sebuah lembaga berdiri di sebalik cahaya rembulan. Dia merenung Malik daripada jauh seperti mencabar Malik. Beberapa das tembakan dilepaskan di udara tanpa alat penyenyap oleh lembaga itu. Ratusan burung yang bermalam di pohon-pohon berhampiran berterbang bertempiaran kerana bunyi tembakan. Bergerakkan rawak burung-burung itu menyembunyikan memudahkan penembak hendap itu untuk menyelinap lari.
Beberapa das tembakan dilepaskan Malik tetapi hanya sia-sia. Jarak lembaga hitam itu terlalu jauh untuk dijangkau peluru Malik.
Teriak Malik dengan geram, “Tidak guna!”
Seroja segera mendapatkan nenek kebayan. Dia membelek-belek serpihan batu tubuh nenek kebayan itu. Dua butir peluru ditemuinya. Dengan sebuah spatula dia mengepit peluru-peluru itu dan dimasukkan dalam sebuah beg bukti. Dia teliti membelek butir-butir peluru itu. Ada ukiran khas pada peluru-peluru tersebut.
“Ini peluru Kelembai,” Seroja dapat mengenal pasti peluru itu menerusi ukiran pada peluru itu.
Malik kembali ke Balai Temenggung. Suasana riuh tadi telah reda.
Seroja yang baru sahaja keluar daripada bilik soal siasat segera mendapatkan suaminya.
“Kita perlu ke kaki bukit Gunung Jerai,” gesanya.
“Kenapa?”
“Ini peluru kelembai!” kata Seroja sambil menunjukkan beg bukti.
Malik mengangguk faham.
Seroja segera mendapatkan motorsikalnya.
“Hari ini, biar aku yang menunggang dan abang menjadi pembonceng.”
“Silakan tuan puteri.”
Motorsikal berkuasa besar Seroja berlalu pantas meninggal Balai Temenggung.
Ѿ
Pasar Gelap di Gunung Jerai, Negera Sunda.
Roda motorsikal Seroja terhenti sebaik sahaja mereka berdua di pintu gerabang masuk. Dia mematikan enjin. Saat dia dan Malik turun daripad motosikal itu, seorang budak kecil menghampirnya sambil menadah tangan. Mata bulat anak kecil itu mencairkan hatinya.
“Abang, ada wang kecil?”
Malik mengeluarkan sekeping wang perak dariapda poket seluarnya. Dia melambungkan duit itu kepada Seroja.
“Ambil ini anak yang comel.”
Anak kecil itu berlari meninggalkan mereka berdua sebaik sahaja mendapat habuan yang dicari.
“Budak!” jerkah Malik sambil menarik kolar baju seorang budak lelaki yang memintas mereka.
“Kenapa tuan tarik bajuku?”
Dia cuba meloloskan diri.
“Kau nampak ini?”
Sebuah lencana kuasa disebalik jaketnya ditayang kepada remaja lelaki itu.
Wajah anak itu berubah pucat.
“Maafkan aku tuan. Ini dompet tuan.”
“Kali ini aku lepaskan. Lain kali mungkin kamu tidak bernasib baik seperti hari ini.”
Dia meleraikan gengaman tangannya daripada kolar anak itu. Tanpa membuang masa anak itu lintang-pukang meninggalkan mereka.
PASAR GUNUNG GERAI
Perkataan itu mengisi sebahagian besar pintu gerang itu. Beberapa orang budak-budak memerhatikan kehadiran mereka.
“Nah, ambil ini,” kata Seroja sambil melambungkan sekeping syiling gangsa bercorak kupang kepada kumpulan budak-budak itu.
“Jaga, motorsikalku, sekeping lagi akan ku berikan sekembalinya aku ke sini,” pesan Seroja cuba mengikat perjanjian.
Anggukkan memisahkan mereka.
Mereka segera menuju ke sebuah kedai di hujung lorong. Sebuah kedai barangan antik yang hanya beberapa lebar beberapa depa. Terpampang besar dalam tulisan jawi “Kedai Antik Waris” di hadapan kedai antik itu.
Loceng berbunyi sebaik sahaja mereka menguak pintu masuk kedai.
“Selamat datang, ada apa-apa yang tuan dan puan sedang cari?” mereka mesra disambut seorang budak lelaki di kaunter.
“Boleh aku bertemu dengan pemilik kedai ini?” pinta Seroja.
“Sebentar, ya.”
Budak lelaki itu tunduk di bawah kaunter. Kemudian dia terpacul keluar.
“Oh, maaf akulah orangnya.”
Wajah mereka seperti tidak percaya dengan bicara anak itu.
“Betul. Saya ini pemilik kedai ini,” budak itu cuba meyakinkan mereka.
Sambil menunjukkan plat kuasanya, Malik memberi amaran, “Kamu jangan mempermainkan pihak berkuasa.”
Loceng dipintu berbunyi lagi. Seorang lelaki berjanggut dan berambut putih masuk.
“Tuan Waris, sudah sampaikah bekalan gaharuku itu?”
“Sudah. Sudah, tuan. Sebentar ya.”
Anak kecil turun daripada bangku kayu. Dia menolak rak-rak di belakangnya. Satu ruang bukaan sebesar satu depa muncul. Namun panjangnya sejauh mata memandang. Sebuah tangga beroda ditolak masuk celah ruang itu.
Sambil menunggu barangnya lelaki berjanggut putih menegur Malik dan Seroja, “Suami isteri?”
“Hebat benar firasat tuan,” balas Malik.
“Aku ini orang tua, anak. Bahasa badan kalian bahasa orang berkasih. Kamu daripada keturunan darah putih? Dan kamu daripada Raja bersiong?” teka lelaki itu lagi.
“Yang ini sudah tinggi makam firasat tuan. Keturunan pun mampu ditelah.”
Lelaki itu hanya ketawa kecil.
Sebuah kota kayu dikeluarkan daripada salah satu ruang rak. Budak itu membuka kotak itu sambil mempersembahkan kayu gaharu yang berwarna hitam.
“Ini , tuan. Gaharu liar daripada Gunung Tahan,” kata budak itu kepada pelanggannya.
Sepuluh keping wang emas diletakkan di atas kaunter.
“Apa ini tuan?”
“Bayaran buat kamu.”
“Tetapi terlalu banyak tuan. Lima keping emas sudah memadai.”
“Selebihnya adalah upah kamu. Bukan senang untuk dapatkan barang bagus ini.”
Barang itu dimasukkan dalam sebuah katung kain berwarna hitam.
Loceng berbunyi sekali lagi menandakan lelaki itu melangkah keluar. Sebelum sempat pintu habis ditutup.
“Mungkin air mata duyung dapat membantu kalian jika kalian ingin mendapatkan cahaya mata,” kata lelaki itu sebelum beredar.
“Jadi kamu adalah Waris?”
“Bukan sudah aku katakan tadi. Walaupun aku seperti anak-anak tetapi aku sudah berusia satu ratus tiga puluh tiga tahun.”
Suami isteri itu tersipu-sipu.
Beg bukti diletakkan di kaunter.
“Kamu tahu siapa pemilik peluru ini?” soal Seroja.
Waris menelan air liur sebaik memandang peluru-peluru dalam beg bukti itu.
“Ini peluru kelembai. Barang terlarang. Aku tidak menjual barang ini.”
Comments
Post a Comment