Skip to main content

Pemintal Mimpi: Bahagian 1


 
 
Pemintal Mimpi: Bahagian 1

Tahun 1985, Gunung Jerai, Malaysia.
Ting.. Ting..
Satu bunyi kedengaran dalam kocek seorang lelaki. Sesuatu bergegar dalam koceknya. Satu ikon sampul muncul pada skrin mesej masuk ke telefon bimbit. Dia menekan ikon sampul itu. Satu mesej muncul dan dipaparkan pada skrin sentuh telefon itu.
Bila kau mahu langsaikan hutang kau?
Wajah serabut lelaki itu sudah cukup menceritakan kepayahan yang dia hadapi.
Sebungkus plastik kedap udara dikeluarkan daripada koceknya. Sekeping gambar jatuh ke lantai hutan yang lecah itu. Dia meraba-raba mencari gambar itu dengan samar-samar lampu suluh digigitnya. Saat die menatap gambar itu, gugur air matanya ke tanah hutan yang sedia lecah itu.
“Maafkan abah, anak-anak abah. Abah buat semua ini untuk kita semua.”
Dengan kemeja tangan panjangnya dia mengesan air matanya. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghela panjang.
Dia berdiri di sebelah sebuah kolam air terjun. Deruan air terjun seperti berderunya hatinya. Dia membulatkan hati. Sekeping kertas dalam plastik kedap udara tadi dibacanya dengan suara tersekat-sekat ketakutan. Dia membaca sebuah mentera dalam bahasa yang dia sendiri tidak fahami.
“Aku menyeru semangat hutan untuk datang!”
Lalu dia menepuk permukaan air. Hening malam bagai terkurung dalam masa. Tiada lagi bunyi cengkerik yang girang tadi. Titisan hutan lebat bagai tergantung di ruang udara. Bunyi nafas yang terhebus daripada corong hidungnya seperti gauman dalam kesunyian pekat itu.
Air di tengah-tengah kolam mula berkocak deras seperti sedang mendidih. Satu susuk berwarna hitam legam perlahan-lahan muncul di permukaan air. Matanya yang kuning bercahaya itu memandang tepat lelaki itu. Lembaga hitam itu merapat ke arah lelaki yang mengigil disapa angin malam.
Lembaga bermata kuning itu bertanya, “Apa hajatmu wahai manusia yang mulia?”
Mulut lelaki terkacip kerana tidak menyangka manteranya benar-benar membuahkan hasil.
“Aku….”
“Aku... inginkan... kekayaan,” pinta lelaki tu dengan suara tersekat-sekat.
“Aku ingin hidup tanpa meminta ihsan manusia lagi.”
Tangannya masih mengigil saat permintaan itu diucapkan. Kertas mentera diramas-ramasnya berulang kali.
“Hanya itu sahaja? Malah aku boleh berikan lebih daripada itu. Adakah kau mahu, wahai manusia mulia?”
“Ya. Ya.”
“Aku boleh tunaikan hajatmu. Namun ada syaratnya.”
“Syarat? Jika kau perlukan sembah korban aku tidak mahu.”
“Tidak manusia. Kau hanya perlu benarkan aku mendampingi kau. Menumpang tubuhmu agar kuasa miliku dapat bersatu denganmu.”
Lembaga itu menghulurkan tangannya.
“Sambut tanganku sebagai tanda setuju dan perjanjian ini akan termetrai. Kita akan menjadi makhluk agung.”
Lelaki itu meramas-ramas tangannnya mempertimbangkan kembali keputusannya. Telefon bimbitnya berdering lagi. Dia mengeluarkan telefon bimbit itu dan melihat satu nama pada skrin.

RASHID Hutang

Jantungnya berdegup pantas sekilas membaca nama pada skrin telefon bimbit itu. Dia terus menyambut tangan makhluk itu. Tubuh lembaga itu berubah menjadi asap hitam dan meresap masuk di celah-celah kuku lelaki itu.
Dia menjerit kesakitan yang amat sehingga dia mengelupur di tanah. Pekikan kesakitan itu berterusan buat suatu masa yang lama sebelum rimba kembali sunyi. Kilat tiba-tiba bersabung di langit. Hujan turun semakin lebat dan membasahkan bumi malam itu. Kesakitan itu meragut kesedarannya. Dia terbaring seperti mayat.

Comments

Popular posts from this blog

PEMINTAL MIMPI: Bahagian 19

  “Aku sudah menjalankan tugasku. Aku memohon kalian menghantar aku pulang. Rasanya sudah seharian aku berada di sini. Gusar sahabat-sahabat akan risau kerana aku pergi tanpa sebarang perkhabaran.” “Hanya tuhan sahaja mampu membalas baktimu, Hatadi. Dan kami berjanji akan menghantarmu pulang sebentar nanti. Tetapi sebelum itu, aku ingin menjemputmu ke rumahku. Ada sesuatu yang ingin aku berikan kepada kamu,” ujar Malik. “Tidak perlu, Malik. Tidak perlu sebarang ganjaran,” Hatadi menolak pelawaan itu. “Tetapi aku akan melanggar amanah Dr Denai jika tidak dapat memberikan kamu barang itu.” Seroja kelihatan cuba meninggalkan bilik saat suaminya dan Hatadi berbual. Malik bertanya, “Seroja mahu ke mana?” “Tempat biasa, abang,” balas Seroja.  “Tetapi tetamu kita ini perlu pulang segera.” Hatadi mencelah, “Tidak mengapa, aku boleh meluangkan masa lagi di sini.” Mereka dibawa Seroja ke bilik rawatan kanak-kanak. Kanak-kanak di situ gembira dengan kehadiran Seroja. “Ibu Seroja!” panggi...

PEMINTAL MIMPI: Bahagian 17

  “Ada barang yang perlu Seroja ambil.” Malik memberi arah kepada pod tersebut, “Pod, ubah haluan ke Armada Waja. Kami perlu singgah di sana sebentar” “Arahan diterima. Destinasi  persinggahan didaftarkan. Perjalanan ke destinasi baru akan memakan masa lima minit,” balas sistem navigasi pod tersebut. Ѿ Sampai sahaja di ruang lobi, seorang gadis menanti di hadapan bangunan Armada Waja.  “Sekejap sahaja ya,” kata Seroja sebelum turun daripada pod itu. Gadis tadi memberikan seutas gelang kepada Seroja.  “Puan Seroja, ini gelang yang dipinta. Tapi puan rasanya puan tidak perlu benda ini. Perkara itu sudah lama tidak terjadi kepada puan,” kata gadis itu. “Terima kasih. Aku tahu. Cuma bukankah lebih baik sediakan payung sebelum hujan.” Dia segera mengenakan gelang itu di pergelangan tangannya. Butang pada gelang tersebut berubah daripada warna merah kepada hijau.  “Alat berjaya diselarikan dengan sistem puan,” kata gadis itu. Sebuah fail jatuh daripada tangan gadis it...

Kilang Mimpi?

Degupan jantungku semakin reda setelah langkah larianku berubah menjadi langkah yang perlahan. “Penat betul, sudah lama tidak berjoging,” gomelku sendirian. Untuk pulang ke rumah, aku perlu melalui sebuah taman permainan yang berhampiran. Aku mula berjalan melalui kawasan taman permainan. Seorang anak kecil ketawa sakan apabila ibunya menghayunkan buaiannya naik lebih tinggi. Penatku semakin berkurang tatkala mendengar gelak ketawa anak kecil itu. Tiba-tiba aku nyaris tersungkur. Mujur aku sempat mengatur langkah. Jika tidak tersembam mukaku ini pada lantai bata bercorak coklat dan kelabu. Kasut memakan tuan. Tali kasutku nyaris menyerat tuannya sendiri. Jadi aku duduk di sebuah bangku kayu untuk mengikat semula tali kasutku. Dua orang kanak-kanak duduk di sebelahku. Pada mulanya aku tidak ambil peduli pada kanak-kanak, tetapi suara salah seorang kanak-kanak itu membuatkan anak mataku mencuri melihat kanak-kanak itu. “Eh, budak di masjid hari itu,” bisikku. Kanak-kanak itu adalah kanak...