“Aku sudah menjalankan tugasku. Aku memohon kalian menghantar aku pulang. Rasanya sudah seharian aku berada di sini. Gusar sahabat-sahabat akan risau kerana aku pergi tanpa sebarang perkhabaran.”
“Hanya tuhan sahaja mampu membalas baktimu, Hatadi. Dan kami berjanji akan menghantarmu pulang sebentar nanti. Tetapi sebelum itu, aku ingin menjemputmu ke rumahku. Ada sesuatu yang ingin aku berikan kepada kamu,” ujar Malik.
“Tidak perlu, Malik. Tidak perlu sebarang ganjaran,” Hatadi menolak pelawaan itu.
“Tetapi aku akan melanggar amanah Dr Denai jika tidak dapat memberikan kamu barang itu.”
Seroja kelihatan cuba meninggalkan bilik saat suaminya dan Hatadi berbual.
Malik bertanya, “Seroja mahu ke mana?”
“Tempat biasa, abang,” balas Seroja.
“Tetapi tetamu kita ini perlu pulang segera.”
Hatadi mencelah, “Tidak mengapa, aku boleh meluangkan masa lagi di sini.”
Mereka dibawa Seroja ke bilik rawatan kanak-kanak.
Kanak-kanak di situ gembira dengan kehadiran Seroja.
“Ibu Seroja!” panggil seorang anak kecil yang berbalut tangannya. Dia mendakap Seroja. Wanita itu mengendong anak kecil itu bersama beberapa orang lagi ke sebuah kawasan permainan.
Dari jauh mereka berdua memerhatikan gelagat Seroja bersama anak-anak kecil tadi.
“Kau sudah berjodoh Hatadi?” tanya Malik
“Belum, Malik. Masih belum menemui yang istimewa.”
“Yang istimewa atau yang sempurna?”
Hatadi ketawa, “Bukan, cuma aku tidak punya masa kerana sibuk menghabiskan pengajan doktor falsafahku.”
Malik dan Hatadi melontarkan pandangan mereka kepada Seroja. Wanita itu berasa senang bersama anak-anak yang pelbagai ragam. Kelihatan damai pada wajahnya apabila melayan mereka.
“Seroja pandai melayan anak-anak itu. Sudah mempunyai anak?
Malik menghela nafas, “Belum rezeki.”
Rasa bersalah menyelubungi Hatadi.
“Maafkan aku.”
“Tidak mengapa. Doakan kami.”
“Insyaallah.”
“Darah kami darah tersumpah. Tidak dapat melangsungkan keturunan kerana keturunan kami. Aku degil untuk terus bersamanya walau dihalang kerabat aku.”
“Insyaallah ada caranya. Ada rahsianyanya. Bukankah setiap penyakit ada penawarnya,” Hatadi cuba memujuk hati Malik.
“Mungkin, Hatadi. Aku sebagai manusia harus berserah dan berusaha.”
“Ha macam itulah, Tuan Temenggung.”
“Hatadi, Hatadi. Bijak sungguh kamu mengambil hati.”
Ѿ
Kenderaan pod berhenti di rumah Seroja dan Malik. Satu suara menyambut kepulangan mereka di muka pintu.
“Selama pulang, Tuan Malik dan Puan Seroja. Nampaknya kalian ada tetamu.”
Satu sfera terapung di udara mengiringi mereka bertiga masuk.
“Kamu duduk dahulu. Aku akan bawakan barang itu sebentar.”
Ada sebuah topeng kayu digantung di atas setiap rak buku kecuali sebuah rak di tangga rumah.
Satu perkara yang membuatkan Hatadi kagum melihat rumah adalah kerana hampir setiap dinding rumah itu rak buku menjadi pendampingnya.
Buku daripada pelbagai genre membuatkan ulat buku seperti Hatadi terliur ingin menelaah setiap buku-buku itu. Jemarinya bermain pada tetulang buku pada salah satu rak. Pada satu tetulang buku, jari telunjuknya terhenti.
Undang-Undang Laut Melaka (Keluaran 1429)
Tajuk tertera pada buku itu. Perlahan-lahan dia keluarkannya daripada rak. Sehelai demi sehelai buku itu diselak.
“Kandungannya seperti Manuskrip Undang-undang Laut Melaka. Cuma banyak pindaan terhadap undang-undang ini,” Hatadi berbisik kepada diri sendiri.
Malik muncul daripada tingkat atas, “Apa yang khusyuk benar itu Tuan Hatadi?”
Suara itu mengejutkan Hatadi.
“Maafkan aku kerana membaca buku ini tanpa izinmu.”
“Tidak mengapa. Tidak mengapa. Buku itu salah satu pelajaran wajib semasa aku menuntut di Universiti Tun Perak. Berminat untuk menelaahnya?”
Senyum pada bibir Hatadi sudah membuatkan Malik faham
“Ambil buku itu dengan ini sekali.”
Malik menyampaikan sesuatu ke tangan Hatadi.
“Apakah ini?”
“Microfilem catatan Pemintal Mimpi itu. Dr Denai maklumkan saya, kau akan menghargainya.”
Senyum terukir di bibir Hatadi lagi. Dia sebenarnya memang ingin mendapatkan manuskrip itu tetapi Dr Denai lebih dahulu tahu keinginannya.
“Tolong panggilkan perkhidmatan pod ke mari,” arah Malik kepada sistem automatik rumahnya.
“Isk kanda ini. Jemputlah tetapi makan dahulu. Lagipun sudah seharian dia tidak makan,” tegur Seroja.
“Tidak mengapa, Seroja. Aku benar-benar sudah terlambat,” Hatadi sopan menolak pelawaan mereka.
Daripada tadi dia membelek-belek jam tangannya.
Pod tiba di rumah Seroja dan Malik.
“Aku berharap kita dapat bertemu lagi,” ucap Malik sambil berjabat tangan dengan Hatadi.
Pod meninggalkan rumah Malik. Daripada jauh lambaian memisahkan mereka dengan Hatadi. Hatadi yang keletihan terlelap sepanjang perjalanan.
Comments
Post a Comment